Friday, August 31, 2007

Ramadhan Yang Bakal menjelma


Masa begitu cepat berlalu. Pejam celik, kita sudah menghampiri bulan Ramadhan yang akan muncul sedikit masa sahaja lagi. Terasa baru semalam kita menyambut bulan mulia ini dan sedar tak sedar setahun sudah hampir berlalu. Bila bulan Ramadhan menjelma, pelbagai perasaan yang akan timbul. Terbit perasaan berkobar untuk memulakan bulan mulia ini. Namun entah mengapa, setiap kali Ramadhan muncul hati akan terasa sayu. Mungkin mengenangkan ini bulannya di mana kita boleh mendapat keampunan jika puasa dilakukan dengan bersungguh dan amalan dibuat semata-mata untuk mendapat keredaan dan keampunan yang Maha Esa.
Setiap kali ianya muncul, keinginan hati untuk melakukan kebaikan dan amalan yang lebih sering terbit, namun kekadang untuk melaksanakan dan mengekalkannya menjadi satu hal pula. Perasaan cintakan Allah amat menebal namun terlalu banyak kekurangan yang dirasakan sehingga kekadang terasa diri berdosa kerana kelalaian dan kelekaan duniawai yang menuntut. Pada tahun ini, marilah kita berazam untuk melakukan yang terbaik. Puasa yang terbaik, amalan yang terbaik dan niat hati yang terbaik. Tidak perlu melakukan yang terlampau sehingga tidak mampu ditanggung badan, memadailah dengan sekadar kemampuan yang kita ada, asalkan ianya datang daripada hati yang ikhlas dan inginkan diri diampuni dan diredhaiNya.
Namun, sesuatu yang baik haruslah dilakukan berterusan dan dijadikan cara hidup kita. Janganlah hanya di bulan mulia ini kita rajin beribadat, tetapi di bulan lain kita lupa. Juga bukan sahaja amalan keagamaan yang perlu kita lakukan, sifat mulia juga perlu ada di dalam diri kita. Bercakap benar, jujur dan amanah adalah sifat yang patut ada di dalam diri kita tak kira apa pegangan agama kita. Sifat bersih, mengotakan kata dan menghormati barangan orang lain juga di antara sifat yang perlu kita amalkan. Semua ini adalah nilai yang saya terapkan kepada anak-anak yang sedang membesar agar mereka tahu nilai yang elok untuk diamalkan di dalam kehidupan mereka. Amalan keagamaan perlu seiringan dengan nilai-nilai murni agar diri kita menjadi lebih seimbang dari segi rohani dan jasmani.
Ini ingatan buat diri saya sendiri yang sering terasa berdosa dan malu padaNya. Terlalu banyak yang ingin dilakukan namun terlalu sedikit yang dapat dibuat. Saya cuma mengharapkan Allah mengampunkan kesalahan kita yang lampau dan akan datang, yang dilakukan secara sedar atau tidak, sengaja atau tidak, kerana kita semua adalah manusia yang amat jahil dan penuh noda. Teringin benar hati ini untuk melakukan yang terbaik tahun ini, dan harapan itu hendaknya dapat dijalankan. Sama-samalah kita cuba memperbaiki diri dan kelemahan yang ada, dan membersihkan hati daripada segala macam rasa dan prasangka. Semua ini adalah peringatan untuk diri saya sendiri, terutamanya diri saya sendiri, dan kepada yang sudi menerimanya.
Salam di bulan mulia ini. Selamat menyambut Bulan Ramadhan dan semoga hidup kita diberkati dan dirahmati Allah, dan diampunkan segalan dosa dan kesalahan.
Amin.

No comments: