Entah mengapa hari ini tiba-tiba teringatkan cerita di tahun tujuh puluhan dan lapan puluhan yang menjadi kegemaran saya. Masa tu adalah masa di mana saya sedang membesar. Di tahun tujuh puluhan saya masih lagi berada di bangku sekolah rendah, dan bertukar ke sekolah menengah pada tahun awal lapan puluhan. Teringat saya pada cerita Fantasy Island, Charlie's Angels, Starsky and Hutch, Remington Steel, Kojak, Dallas, Family, Eight Is Enough, Mork and Mindy, Combat, Knots Landing, Moonlighting, Falcon Crest dan macam-macam lagi yang sudah saya lupa. Semuanya memberikan satu nostalgia yang tidak dapat diungkai dengan kata-kata.
Bila perasaan itu datang, apa yang mampu saya lakukan adalah cuba mengingati kembali cerita dan watak-watak di dalamnya. Siapa yang boleh lupa aksi dan dialog "the plane! the plane!" di dalam siri Fantasy Island atau kelucuan Pierce Brosnan dan Stephanie Zimbalist di dalam Remington Steel yang amat saya minati. Ditambah pula dengan watak bertentangan di antara Bruce Willis dan Cybil Shepherd membuatkan saya tak tinggalkan tempat duduk ketika menonton Moonlighting. Masa begitu cepat beredar. Saya tidak boleh lagi menonton cerita-cerita tersebut yang penuh dengan ciri-ciri kelucuan, kekeluargaan dan suspens. Ceritanya masih ada unsur-unsur moral dan nilai yang boleh diikuti, malah begitu mudah dan bercirikan kemanusiaan.
Namun cerita-cerita baru yang tumbuh melata bak cendawan meliar di abad ini cukup berbeza sekali adunannya. Cerita-cerita aksi dan penyiasatan yang berlumba-lumba ditayangkan telah sudah tiada istimewanya kerana semuanya mahu mengeluarkan ceita yang hampir sama. Masing-masing mengatakan cerita merekalah yang paling top dan kitapun berebut-rebut menontonnya. Cerita seperti CSI, Prison Break, Ghost Whisperer, Numbers, Lost dan banyak lagi amat berbeza sekali dengan cerita di tahun saya membesar. Garapan dan olahannya membuat saya rasa sedikit terasing ketika menontonnya, malah kekadang membuat saya rasa sedang menonton cerita yang tiada atau kurang beremosi. Maksudnya, watak-watak di dalamnya terasa begitu detached dengan realiti sebenar kehidupan. Dialog yang laju dan sempurna, muka yang jarang tersenyum dan tiada unsur humor di kalangan watak-watak membuat saya rasa terasing ketika menontonya. Jiwa tidak rasa dekat dengan watak yang dimainkan. Kita hanyalah penonton yang melihat dari kotak televisyen dan menyaksikan aksi-aksi yang cukup sempurna di hadapan kita dan bukannya tenggelam sekali di dalam perwatakan dan jalan ceritanya.
Semuanya amat berlainan sekali dengan cerita di tahun tujuh dan lapan puluhan. Mungkin kerana itu tahun di mana saya membesar, saya merasakan dekat dengan watak-watak yang ada. Watak-watak yang dilakonkan membuat silap dan mempunyai humor dan berasa sedih dan gembira sama seperti kita. Cerita yang dilakonkan adalah cerita kekeluargaan yang dekat dengan hati kita dan mempunyai permasalahan yang sama dengan realiti hidup seharian. Oleh itu, lebih mudah untuk difahami dan lebih dekat di hati kita. Lantas, kita menjadi 'rapat' dan seolah 'kenal' dengan watak yang dimainkan. Cerita Eight Is Enough atau Family cukup menarik dan mengupas isu kekeluargaan dan bagaimana mereka menyelesaikan isu di dalam kehidupan seharian, dan cerita sebeginilah yang amat kurang di abad ini. Sesungguhnya saya rindukan cerita-cerita lama itu , namun apakan daya, masa berlalu dan kini cerita-cerita pantas dan lasak mendapat tempat di hati pengeluar dan penerbit cerita. Jika itu yang diberi, maka itulah yang ditonton.
Ini tidak termasuk program realiti TV, terutama keluaran tempatan, yang berlambak sehinggakan ada diantaranya membuatkan penonton rasa tertipu dengan kualiti dan jalan cerita yang tidak kukuh dan disunting dengan elok, maka jadilah cerita realiti TV yang tiada hala tuju dan kucar-kacir dan tiada kesinambungan di antara cerita dan watak. Akhirnya, kita yang menonton rasa seperti mahu menjerit dengan program realiti TV yang merendahkan kualiti pemikiran penontonnya dengan cerita dan isi tangkap muat sahaja.
Hmmm....mungkin ada stesyen yang mahu menunjuk ulang tayang atau membuat slot baru cerita tahun tujuh puluhan dan lapan puluhan untuk menggembirakan orang seperti saya? Pasti ramai yang mahu menontonnya. Tapi, sehingga itu terjadi, apalah agaknya cerita yang hendak saya tonton ketika ini? Aha! Nak buka saluran V, America's Next Top Model nak bersiaran!
No comments:
Post a Comment