Thursday, October 4, 2007

Hari Raya di Angkasa

Pada 13 Oktober 2007, jika tiada aral, insyaAllah umat Islam akan menyambut Aidil Fitri setelah sebulan berpuasa. Pada masa ini tentu ramai yang sedang membuat persiapan Hari Raya. Mengemas rumah, membeli-belah atau memikirkan menu yang hendak dimasak pabila Raya menjelma nanti. Walau apapun aktiviti kita, lebih elok jika kita berjimat cermat dan berbelanja sekadar yang perlu sahaja. Pada saya, yang penting adalah memastikan kedua cahaya mata saya mendapat beberapa helai pakaian baru yang sudahpun dibeli sebelum Ramadhan lagi. Saya sengaja memilih untuk membeli awal untuk mengelak daripada kesesakan. Maklumlah, jika semuanya hendak dibeli di saat akhir, kelam kabut jadinya. Saya secara peribadi tidak sukakan keadaan yang huru hara dan sesak, jadi saya pastikan segala keperluan sudah disediakan awal-awal lagi.
Tiga hari sebelum kita menyambut Raya, angkasawan negara kita akan berlepas ke angkasa dengan membawa jutaan harapan rakyat Malaysia. Sebagai salah seorang rakyat Malaysia, saya berasa amat bangga kerana kita telah melahirkan dua orang angkasawan yang dapat mengharumkan nama negara. Bukan itu sahaja, penglibatan mereka dapat juga menaikkan taraf penyelidikan negara kita kerana selain ke angkasa, misi utama mereka ialah membuat penyelidikan sains. Bukan mudah untuk menjadi seorang angkasawan.
Di dalam jutaan orang, Dr Sheikh dan Dr Faiz telah berjaya melopori bidang ini dan menjadi perintis kepada bidang angkasa yang masih lagi baru kepada negara kita. Selain mempunyai minda yang cerdas, angkasawan negara tentulah memiliki ciri-ciri kekuatan dan ketahanan mental dan fizikal yang kuat untuk merealisasikan impian ini. Tahap kesihatan perlulah berada di tahap optimum dan semangat yang ada perlulah kental. Saya percaya, ciri-ciri inilah yang membuatkan mereka berdua layak menyertai program angkasawan kita dan sekaligus menjadi angkasawan pertama dari negara ini yang menjejaki ruang angkasa.
Mereka juga akan menyambut Hari Raya di dalam kapal angkasa dan berjauhan daripada keluarga dan sanak saudara. Semoga pengalaman yang bakal ditempoh memberikan sejuta keinsafan dan pengajaran yang tidak ternilai. Bukan semua orang berpeluang ke angkasa lepas dan sekaligus menyambut Aidil Fitri di sana. Mereka sesungguhnya amat bertuah.
Saya mendoakan agar mereka selamat pergi dan pulang. Semoga misi dan penyelidikan yang mereka lakukan akan memberi banyak manfaat kepada bidang sains dan teknologi negara ini dan sekaligus memberi manfaat kepada rakyat jelata. Amin.

No comments: