Monday, September 24, 2007

Takziah Buat Keluarga Adik Nurin Jazlin

Sebelum memulakan bicara, saya ingin mengucapkan takziah kepada keluarga adik Nurin Jazlin yang telah pergi menyambut panggilan Ilahi setelah hampir sebulan hilang. Apa yang memilukan ialah cara adik itu pergi, iaitu didera secara fizikal dan seksual. Manusia pada tahap manapun, yang masih mempunyai akal dan pemikiran waras tidak mungkin tergerak hatinya untuk melakukan perbuatan terkutuk dan dilaknat Allah itu. Hati saya begitu tersentuh pabila mengenangkan penderitaan dan masa hampir sebulan yang dilalui oleh adik comel itu. Hanya Allah, adik Nurin dan manusia yang melakukan perbuatan itu sahaja yang tahu apakah yang sebenarnya berlaku. Hati saya tertanya apakah manusia yang membunuh dan menganiaya kanak-kanak yang tidak berdosa itu tidak mempunyai hati dan perasaan sama sekali, walaupun secalit? Apakah tujuannya melakukan perkara itu?
Kanak-kanak yang patut dilindungi seringkali menjadi mangsa kepada kaum dewasa yang tidak tahu tanggungjawab. Apa yang telah terjadi ke atas adik Nurin diharap membawa banyak iktibar kepada kita, terutamanya yang masih mempunyai anak-anak kecil agar lebih berhati-hati. Janganlah kita mengambil mudah soal keselamatan mereka dan janganlah 'take things for granted' dengan keadaan dan orang sekeliling, walaupun kawasan itu amat kita tahu dan orang sekeliling amat kita kenal. Mungkin sudah takdir bahawa adik Nurin akan pergi di dalam keadaan yang begitu menyayat hati, namun sebagai ibu bapa kita juga harus memantau pergerakan anak-anak dan tidak cuai dengan penjagaan mereka.
Saya pasti ibu dan bapa adik Nurin akan mengambil masa yang amat panjang untuk melupakan kisah itu dan ianya akan sentiasa menghantui hidup mereka selamanya. Saya turut bersimpati namun pada masa yang sama mungkin ini boleh menjadi pengajaran buat mereka dan ibu bapa yang lain bahawa kanak-kanak tidak patut dibiarkan berjalan keseorangan ataupun dibiarkan bertemankan kanak-kanak lain, apatah lagi pada waktu malam. Seorang kanak-kanak seharusnya perlu ditemankan seorang dewasa, samada ibu atau bapa atau adik beradik yang sudah dewasa jika mahu keluar daripada rumah.
Alasan rumah berdekatan dengan kedai ataupun sekolah tidak cukup kuat untuk membenarkan mereka berjalan seorang. Apa-apa sahaja boleh berlaku sepanjang perjalanan, walaupun jarak rumah dan tempat destinasinya adalah beberapa meter sahaja. Di dalam beberapa saat sahaja kanak-kanak boleh ditarik atau diculik dan jika tiada orang dewasa yang menemani, risikonya amat tinggi.
Justeru, saya berdoa agar kita semua mengambil pengajaran daripada kejadian itu dan mudah-mudahan perkara serupa tidak akan berlaku lagi di masa hadapan.
Marilah kita sedekahkan Al-Fatihah buat roh adik Nurin Jazlin dan semoga rohnya aman di sisi Allah SWT. Sesungguhnya syurga itu tempatnya.....

No comments: